Fb
Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Pemeriksaan premis makanan amalan biasa, kata Yunus Rajah |  Lebih 1,000 guru seluruh Sabah meriahkan 'Sodop Pisompuruan' |  Pengawas Pusat Sumber SK Lubok Temiang ikuti Bengkel Asas Photoshop |  KA TAZ main peranan penting bendung penculikan di perairan timur Sabah |  Penjara Sandakan adakan jualan produk bermula 21 April ini |  PRU14: BN masih pilihan penduduk DUN Paginatan |  Kaum Dusun pedalaman Sabah masih perlukan BN |  Zahid akan lawat Bongawan Isnin ini |  Lebuh Raya Pan Borneo pemangkin kemajuan ekonomi di Sabah: Musa |  Organiser targets RM50,000 from charity golf tournament |  Over 450 athletes for Sabah Masters Open |  Junior Rhinos suffer first home defeat |  UMS inks MOU towards industrial relevance |  Harbour Mall, Four Points by Sheraton Sandakan successful fire drill |  High Court hastens case with bearing on Shafie candidacy | 
 BM

RM62 juta bayar elaun sara hidup nelayan di Sabah setiap tahun

13th March, 2018

OLEH MARRYAN RAZAN

PUTATAN: Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membelanjakan sebanyak RM62,546,400 bayaran elaun sara hidup kepada kira-kira 17,374 nelayan di negeri ini setiap tahun.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 seorang setiap bulan itu bertujuan untuk meringankan bebanan perbelanjaan mereka.

Beliau berkata, selain elaun sara hidup, kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan lain termasuk insentif perikanan, insentif pendaratan ikan dan program-program lain melibatkan aspek keusahawanan, pemasaran dan kemahiran.

“Sehingga kini, kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit bagi menyediakan pelbagai kemudahan untuk nelayan termasuk penyediaan infrastruktur seperti pelabuhan perikanan, kompleks-kompleks pendaratan ikan, jeti-jeti dan tukun tiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mensejahterakan Komuniti Nelayan Daerah Putatan, di Dewan Sri Putatan, di sini, kelmarin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, keadaan hidup nelayan pada hari ini semakin bertambah baik berbanding masa dahulu.

Katanya ia adalah hasil kesungguhan kerajaan yang merangka pelbagai dasar dan program untuk membela masyarakat golongan itu.

“Kerajaan menubuhkan empat agensi khusus untuk menangani isu-isu melibatkan kehidupan nelayan di negeri ini iaitu Jabatan Perikanan Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) dan Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA).

“Justeru itu, saya memohon kepada para nelayan supaya memberikan sokongan serta kerjasama kepada kerajaan serta jabatan dan agensi terlibat dalam melaksanakan pelbagai aktiviti untuk kebaikan nelayan,” katanya.

Pada majlis itu Yahya turut merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Sabah dan seterusnya Program Penyerahan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan.

Yahya berkata, sebanyak 20 unit tukun tiruan akan dilabuhkan di kawasan perairan Putatan pada esok, manakala aktiviti melabuh tukun tiruan di empat lagi daerah di Sabah telah diadakan kelmarin.

“Sehingga tahun ini, sebanyak 1,029 unit tukun tiruan konkrit dilabuhkan diseluruh perairan Sabah melibatkan 120 kampung nelayan dengan nilai lebih daripada RM12 juta,” katanya.

Beliau berkata, sejak tahun 1982, kerajaan telah melaksanakan program tukun tiruan sebagai salah satu usaha dalam pengurusan sumber perikanan.

“Antara objektif utama pelaksanaan program tukun tiruan ialah untuk membantu meningkatkan tangkapan ikan dan meningkatkan pendapatan nelayan tradisional.

“Hasil kajian mendapati peningkatan nilai pendapatan kasar seorang nelayan pantai meningkat sehingga RM40.67 sekali trip sehari setelah adanya tukun tiruan. Ini menunjukkan peningkatan hasil pendapatan sebanyak 50 peratus,” katanya.

Selain itu katanya, program tukun tiruan juga bertujuan menghalang pencerobohan kapal pukat tunda di kawasan pesisiran pantai nelayan tradisional; menambah habitat serta kawasan pembiakan ikan di kawasan pesisiran pantai dan membantu memulihkan dan meningkatkan sumber perikanan pesisiran pantai yang kian merosot.

“Program itu juga diharap akan menjadi antara tarikan pelancongan terutamanya aktiviti perikanan rekreasi (memancing) dan eko-pelancongan (selaman SCUBA) pada masa akan datang, seterusnya menjadi sumber pendapatan baru kepada nelayan pesisiran pantai,” katanya.

Yahya berkata kementerian sentiasa memberi perhatian serius dalam usaha membangunkan sektor perikanan serta sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha melaksanakan transformasi sektor perikanan dan perubahan minda nelayan untuk melihat arus pembangunan perikanan yang berterusan.

Sempena majlis itu, beliau turut menyerahkan Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (LKIM) kepada penerima yang layak.

Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri, Dr.Ahemad Sade, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu, Datuk Haji Arsit Sedi, Penolong Pegawai Daerah Putatan, Hassan Mahali dan ketua-ketua jabatan serta agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah.

   
Email Print
   
 
 
E-browse