Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Biggest ever Sabah contingent for Sukma |  Straight fight for Safa presidency |  Man sought for spearing wife |  Wildlife unit’s swift actions save jumbo |  Man tries political ties to get druggie sons off |  Stand-up comedian Harith Iskander to perform at SHAREDA Nite |  Bangkok-KK route will boost state's tourism |  KPJ Healthcare records RM44.6 mln Q2 net profit |  CIDB urges industry to adopt QLASSIC |  Polinta moguhud misokodung miampai Indonesia monoodo talun-alun tagazo |  Komulakan kusai natagak nokito poinhabu id tenggara Pulou Timbun Mata |  Podtuhudan potihombus Bangkok- Kota Kinabalu kopoinsavat kotombuhuzan |  25 pelajar Universiti Wuyi China sertai Kursus Kejuruteraan di UMS |  Cuba lepaskan anak ditahan AADK, ayah guna nama parti |  APMM Semporna rampas minyak petrol | 
 BM

'Mona Lisa' adaptasi drama Korea pertama di Astro Prima

13th March, 2018

SUATU ketika dulu, drama Korea bersiri panjang bergenre melodrama ‘The Women’s Room’ pernah menjadi fenomena sekitar tahun 2013.

Drama yang menampilkan pelakon Park Eun-Hye, Wang Bit-Na, Kang Ji-Sub, Kang Kyung-Joon serta ramai lagi ternyata mendapat tempat dalam kalangan peminat drama Korea.

Lakonan cemerlang teraju utama drama tersebut, Wang Bit-Na juga pernah diangkat menerusi kategori ‘Excellence Award’ untuk ‘Full-Length Drama’ di SBS Drama Awards 2013 di negara asalnya.

Terbaharu, Astro Prima mengambil jalan untuk menerbitkan sebuah naskhah yang diadaptasi daripada cerita tersebut yang diberi judul “Mona Lisa’.

Drama ‘Mona Lisa’ merupakan adaptasi terbitan pihak Astro dengan kerjasama produksi Radius One ini diarahkan oleh sutradara Shahrul Ezad Mohameddin dan dibantu oleh Uchee Fukada selaku Pengarah Bersama.

Empat teraju utama dalam drama ‘Mona Lisa’ ialah Zara Zya sebagai Melisa; Mona Allen sebagai Ramona; Nazim Othman sebagai Johan dan Hafreez Adam sebagai Chef Adam.

Drama berdurasi selama 60 minit sepanjang 80 buah episod ini akan ditayangkan mulai 20 Mac, pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang secara eksklusif menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata gelombang fenomen ‘K-wave’ yang berlaku hari ini sudahpun menguasai tembok pasaran dunia baik dalam drama, muzik mahupun fesyen.

“Dalam kalangan peminat hiburan di Malaysia khususnya, ketaksuban terhadap drama Korea atau istilah lebih tepat, K-drama serta muzik K-pop ini bermula lebih sedekad yang lalu dengan pengaruh besar drama Korea, ‘Winter Sonata’ sekitar tahun 2002 yang masih menjadi sebutan ramai sehingga hari ini.

“Bukan setakat menonton, penonton juga turut menjiwai dan menangis kerana meratapi nasib watak dalam drama tersebut yang mengisahkan pengorbanan dan kehebatan kuasa cinta. Ini membuktikan bahasa bukan penghalang untuk menarik perhatian penonton dari seluruh dunia asal sahaja pengisian tersebut berkualiti dengan naratif penceritaan yang menarik.

“Manakala trend menghasilkan drama adaptasi berdasarkan novel dan naskah popular dari luar negara di platform Astro pula sudahpun terbukti keberkesanannya berdasarkan pelbagai karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini.

“Mengambil kira impak besar faktor-faktor ini yang sememangnya diakui memainkan peranan yang signifikan dalam industri penerbitan drama televisyen, Astro sebagai peneraju kandungan hiburan tanah air ingin meneruskan gelombang fenomena K-wave menerusi penerbitan drama adaptasi ‘Mona Lisa’ yang dipilih berdasarkan kecemerlangan naskah asal di Korea,” katanya.

Beliau juga optimis dengan sambutan penonton memandangkan sebelum ini, pelbagai drama bersiri yang menggunakan format adaptasi di Astro Prima berjaya menerima sambutan positif seperti ‘Lara Aishah’ yang diadaptasi daripada siri telenovela Mexico popular ‘La Loba’, ‘Papa Ricky’ daripada siri ‘Papi Ricky’ (Chile), ‘Dendam Aurora’ daripada siri telenovela ‘Tuscan Passion’ (Itali) dan ‘Syurga Yang Kedua’ (Indonesia).

‘Mona Lisa’ Drama ‘Mona Lisa’ memaparkan kisah konflik perhubungan yang didorong perasaan khianat dan dengki demi mengecapi kebahagiaan.

Drama ini mengisahkan tentang Melisa (lakonan Zara Zya) yang digambarkan mempunyai kehidupan sempurna dan memiliki segala-galanya. Melisa juga merupakan pewaris kepada perniagaan hotel mewah yang dimiliki oleh keluarganya.

Keperibadian Melisa cukup disenangi ramai dan memiliki teman lelaki bernama Johan (lakonan Nazim Othman) yang amat menyayanginya. Walau bagaimanapun, perkenalannya dengan Ramona (lakonan Mona Allen) mengubah segalanya.

Layanan baik Melisa terhadap Ramona yang bersimpati dengannya dibalas dengan tuba. Ramona rupanya dalam diam cemburu dengan kehidupan yang Melisa miliki lalu berazam untuk merampas kebahagiaan tersebut demi kepuasan hati. Segala yang Melisa miliki daripada segi kedudukan, reputasi harta dan cinta semuanya dirampas oleh Ramona. Namun, Melisa tekad untuk mengambilnya semula!

Lokasi utama penggambaran drama ‘Mona Lisa’ telah dijalankan di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Lembah Klang serta mengambil masa hampir tujuh bulan untuk diselesaikan.

Sebahagian besar penggambaran turut dibuat di Hotel Pullman Putrajaya yang juga merupakan Penaja Lokasi drama ‘Mona Lisa’.

Tajuk drama ‘Mona Lisa’ ini dipilih berdasarkan nama hotel yang digunakan dalam naskhah asal ‘The Women’s Room’.

Walaupun diadaptasi dari negara luar, plot penceritaan drama ‘Mona Lisa’ telah diolah semula mengikut kesesuaian jalan cerita dan adam resam masyarakat tempatan agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Jalan cerita naskah asal masih dikekalkan tetapi diberi interpretasi baharu tanpa menyalin bulat-bulat karya asal.

Selain itu, bagi yang pernah menonton Naskah asal ‘The Women’s Room’, pasti sedia maklum drama itu mempunyai 119 buah episod. Bagaimanapun, drama ‘Mona Lisa’ diadaptasikan kepada 80 buah episod.

Sedikit berbeza dengan kebiasaan drama yang sering menampilkan watak hero dan heroin sebagai teraju utama, ‘Mona Lisa’ pula memberi kelainan dengan mempertaruhkan dua pelakon wanita iaitu Zara Zya dan pendatang baharu, Mona Allen sebagai tonggak utama yang membawa ‘Melisa’ dan ‘Ramona’ untuk menjayakan drama ini.

Kesemua barisan pelakon yang dipilih untuk menjayakan drama ini juga adalah berdasarkan kesesuaian watak untuk memastikan lakonan yang berkesan.

Lagu runut bunyi dan video muzik istimewa terbitan Hype Beat Sdn Bhd untuk drama ‘Mona Lisa’ berjudul ‘Esok Masih Ada’ ciptaan Akil Hyper Act dan lirik oleh Frozen dinyanyikan oleh artis muda kelahiran Singapura, Hannah Delisha yang mula dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer.

Manakala lagu ‘Luluh’ ciptaan & lirik sendiri oleh penyanyi Khai Bahar serta ‘Di Sini’ nyanyian Idayu ciptaan Farouk Abd Razak & lirik oleh Amylea Azizan pula turut ditampilkan sebagai lagu sisipan dalam drama ini.

   
Email Print
   
 
 
E-browse