Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Court decision on Petronas suit hailed |  Sabah, Sarawak leadership show support for Dr Mahathir |  Dancing tourists at mosque – ministry weighs in |  Mayor: Multi-lingual signages may help |  SATTA to investigate viral video |  Ban by Likas mosque; no thanks to China tourists |  Deadly pest threat |  Kotinanan ngaavi kohigkangan natagan sumikap lijistol, monginvagu lisin: Yeo |  Tonudo prosedur kuarantin poguhui mogovit sumuang kavo poinsuni: Junz Wong |  Tutumombuhui tagahon naamot timpu momiombo id Mosogit Kakadazan Tagazo Kota Kinabalu |  KPLB papavakas Abaabazan Ekonomi Desa id Kadamaian |  Boatmen nabbed on molest charges |  Teen reported missing found electrocuted |  Census on stateless, undocumented individuals |  PM:    Najib's 'I don't know about 1MDB' lame excuse | 
 BM

4 parti komponen S’wak keluar BN, wujudkan GPS

13th June, 2018

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kelmarin sebulat suara mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkara itu berkata, keempat-empat parti itu akan mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“PBB, SUPP, PRS dan PDP telah sebulat suara membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan membentuk gabungan baharu parti yang berasaskan Sarawak dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam dan mengambil kira perkembangan politik saat ini pasca Pilihan Raya Umum ke-14. GPS akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara dan hak negeri dan hak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Petra Jaya dekat Kuching di sini kelmarin.

Mesyuarat lebih sejam itu turut dihadiri Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Alexander Nanta Linggi . Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, BN Sarawak menguasai 19 kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh PBB 13 kerusi, PRS (tiga), PDP (dua) dan SUPP (satu) daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata keputusan menubuhkan sebuah gabungan politik baharu juga dilihat tepat dengan situasi semasa.

“Kami percaya, sudah tiba masanya dan sesuai untuk negeri Sarawak memulakan satu platform politik yang baharu untuk bergerak ke depan menghadapi cabaran selaras dengan keperluan aspirasi yang berubah-ubah dan tuntutan daripada pelbagai keratan rentas penduduk Sarawak. Sarawak adalah sebuah negeri yang unik dengan berbilang kaum, budaya dan agama,” katanya.

Abang Johari berkata keputusan empat parti komponen itu akan dimaklumkan kepada BN pusat dalam tempoh terdekat sambil berterima kasih atas sumbangan BN selama ini kepada Sarawak.

“Kita juga akan maklumkan (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) RoS (berkenaan GPS) dan juga Speaker Dewan Rakyat. Seperti yang saya maklumkan tadi, kita akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) kerana kita berada di dalam sistem Persekutuan, namun kami tidak akan menyertai mereka, kami masih bebas dan mempunyai blok sendiri,” katanya.

Ketika ditanya sama ada sebuah lagi parti asal Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang dipimpin oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh akan turut menganggotai GPS, Abang Johari berkata perkara tersebut akan diputuskan selepas semua perkara selesai.

Dalam pada itu, Abang Johari menafikan ada bertemu Pemangku Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru- baru ini.

“Saya hanya bertemu dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri, itu sahaja,” katanya.

Sebagai rekod BN Sarawak membentuk kerajaan negeri selepas menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan semasa Pilihan Raya Negeri ke-11 yang diadakan pada 2016. – Bernama

   
Email Print
   
 
 
E-browse