Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Kerajaan digesa selesai masalah mendapan pasir sungai Tampasuk |  Lebih 60 rumah rosak di Tanjung Batu Laut akibat ribut, hujan |  60 hamin noumbak tu tongus topuod id Tawau |  Overseas stint for Sabahan Masturah |  Shuttler Goh wins men’s singles |  Ben among stellar cast |  Senior police officer fined RM20,000 for having illegal immigrant in house |  More charter, extra flights to Sabah |  Fighting cocks possible H5N1 source according to Junz |  Green turtle likely killed by boat propeller |  Death of elephants haunts Minister |  Over 60 houses damaged in storm |  GBS will be new opposition bloc |  Ministry starts working on solving Sabah unemployment issues |  Pemegang kad pengenalan merah lebih 60 tahun diberi taraf warganegara: PM | 
 Leisure

Konsert Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya KK

31st July, 2018

SELEPAS mengharumkan nama Thunderstorm iaitu sebuah kugiran atau band dengan rangkaian pencapaian serta kejayaan, kini Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu (IPD KK) melangkah setapak lagi dalam usaha mendekatkan polis dengan masyarakat menerusi muzik dan hiburan.

Malah, aksi kumpulan ini juga sudah mula kelihatan di beberapa lokasi awam antaranya, Konsert Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Kota Kinabalu di Lintasan Deasoka, Februari lalu.

Serikandi Seni Berzaman Diaspirasikan oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra dan isteri, ASP Vyetty AK Thomas Tajal yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) yang ingin mengetengahkan bakat seni anggota serta pegawai secara lebih terarah, inisiatif rebranding pun dilaksanakan ke atas sebuah kumpulan penari yang telah lama wujud dan secara rasmi sebagai dinamakan sebagai Seni Tari IPD KK.

Bagi maksud tersebut, seorang pegawai di Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah, ASP Sabrina Jinius telah diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengurus yang membentuk, menyelaras, menyelia serta mentadbir kumpulan terbabit.

Bersandarkan pada pengalaman terlibat dengan persatuan kebudayaan ketika di bangku sekolah, Sabrina juga dilihat sangat serasi dengan keperluan serta jadual latihan yang agak flexible.

“Atas kepercayaan yang diberi oleh Tuan Chandra dan sedikit pengalaman yang saya miliki, saya berazam untuk mengemudi kumpulan seni tari ini sampai ke suatu tahap yang tinggi, yang akan membanggakan pasukan khususnya IPD KK.

“Berkat usaha dari semua pihak, kita telah berjaya menempah nama di peringkat Kontinjen Sabah apabila Kumpulan Seni Tari IPD KK menjuarai Pertandingan Tarian Peringkat Perkep Sabah dan seterusnya Pertandingan Battle Of The Band iaitu sebagai penari iringan semasa Karnival Piala Pesuruhjaya Polis Sabah sempena Sambutan Hari Polis Ke-209 pada tahun 2016.

“Yang pastinya, kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja keras para penari dan juga idea-idea bernas daripada pihak pengurusan tertinggi IPD KK terutama Tuan Chandra dan Puan Vyetty sendiri. Kita berharap agar kecemerlangan ini dapat dikekalkan serta ditingkatkan lagi pada masa akan datang,” ujar Sabrina.

Koreografer Tonggak Alunan Tari Bertindak sebagai koreografer utama sejak tahun 2006, Kpl Saliana Sazali yang bertugas di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah (LBKS) kini bergandingan dengan muka baharu, Konst Mohd Faizal Johari di Balai Polis Pulau Gaya pada tahun 2017. Kombinasi dua anak jati Kuching Sarawak itu nyata berjaya mencetuskan sinergi serta chemistry terbaik.

Saliana yang berpengalaman luas, malah terlibat dengan kumpulan tari sejak zaman tadika lagi, turut bersyukur kerana penuhuban Seni Tari IPD KK sekurang-kurangnya menjadi saluran untuk dia mempraktikkan semula dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakannya.

Mengenai gerak tari, dia menjelaskan, sejak rebranding, kumpulan itu telah mempersembahkan hampir 50 jenis tarian termasuk tarian moden kontemporari dalam majlis-majlis rasmi polis sama ada peringkat IPD mahupun peringkat Kontinjen Sabah.

“Idea tentang koreograf kadang-kadang datang dari pengamatan terutama pada persembahan tarian oleh kumpulan lain secara live dalam majlis-majlis tertentu, terutama untuk jenis tarian moden.

“Biasanya sebelum turun padang, kita juga membuat sedikit kajian dalam media sosial, youtube dan sebagainya sebagai panduan untuk menghasilkan sesuatu gerak tari contohnya K-Pop dance.

“Kemudian, kami akan duduk semeja bersama pengurus dan para penari untuk membincangkan kesesuaian sesuatu gerak tari dengan tema majlis. Setelah mencapai kata sepakat, barulah kita akan memulakan sesi latihan dan apa yang penting adalah persefahaman dan saling tolak-ansur sesama ahli kumpulan,” ulas Saliana.

Senada dengan Saliana, Faizal akur sesebuah tarian menuntut kesefahaman, minat mendalam serta komitmen sangat tinggi. Walaupun baru empat tahun berkhidmat sebagai Polis, bekas Ahli Jawatankuasa Kelab Kebudayaan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia Kuching Sarawak dan mantan Artis Budaya Kementerian Kebudayaan Negeri Sarawak itu juga masih ingin mempelajari budaya serta adat resam suku etnik di Sabah.

“Sabah adalah tempat bertugas yang pertama sejak saya berkhidmat. Setelah hampir empat tahun berada di sini, saya dapati Sabah juga mempunyai variasi dan keunikan seni tari yang sangat indah. Sehingga kini, saya masih lagi menimba ilmu dan cuba mempelajarinya menerusi pemerhatian dan bertanya dengan rakan-rakan yang lebih arif,” kongsi Faizal.

Gegak Gempita Seni Tari Selain Saliana dan Faizal, Seni Tari IPD KK juga ditunjangi sembilan gadis manis. Mereka terdiri daripada Si Manis Kpl Irma Eddie yang berasal dari Tawau dan bertugas di Balai Polis Kota Kinabalu, Cek Mek Molek Konst Nor Fazlina Mohd Zailani dari Kelantan serta gadis Kudat Kpl Noruadah Mammah yang bertugas di LBKS.

Sering mencuri tumpuan, lemah gemalai urang dara Sarawak, Konst/S Siti Norayaisah Bujang (Balai Polis Karamunsing) dan Nurza Shafeeqa Zakaria (Balai Polis Menggatal) serta sumandak Sabah, Kpl/SP Lydia Bangging (Balai Polis Karamunsing).

Turut menyerikan gerak tari, si gadis kelahiran Kota Belud, Dainam Abdul Jali yang bertugas di Bahagian Pentadbiran, IPD KK dan seorang lagi gadis Kudat, Kpl Marlinah Abd Salim di Bahagian Siasatan Jenayah.

Sungguhpun begitu, mata penonton pasti akan tertumpu kepada satu-satunya gadis Tiong Hua, Konst Thian Yi Shian. Dia yang berasal dari Kuching Sarawak dan kini bertugas di LBKS sdikit pun tidak pernah berasa tersisih atau mengeluh dengan apa saja tugasan kerana baginya rakan-rakan senior tetap menjadi rujukan terbaik.

Harapan Setinggi Kinabalu Bagi Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra pula, Seni Tari IPD KK umpama entiti yang melengkapi tuntutan hiburan. Malah, gabungan kumpulan tari dengan Thunderstorm juga menghasilkan momentum yang berupaya mencipta kepuasan bagi penggemar muzik sekaligus meredakan tekanan kerja para pegawai dan anggota.

“Kita yakin, muzik Thunderstorm dan gerak tari Seni Tari IPD KK ini mampu menjadi halwa telinga serta visual yang mendamaikan serta membawa impak positif secara psikologi kepada para anggota dan pegawai.

“Dengan hiburan, beban tugas serta tekanan yang ditanggung oleh para pegawai serta anggota sedikit sebanyak dapat kita bantu reda dan legakan minda serta emosi mereka.

“Dari aspek yang lebih mustahak lagi, kumpulan tari ini adalah platfom untuk Polis mendekati serta menyantuni masyarakat khususnya golongan muda yang kini menggilai tarian serta muzik K-Pop.

“Ini bermakna, hiburan yang kita bawakan berfungsi sebagai gerak saraf agar masyarakat berasa lebih dekat, lebih selesa dan lebih yakin berkongsi apa juga maklumat dengan Polis dalam usaha kita menbanteras kegiatan jenayah,” tegas Chandra.

Bahan Peledak Resah, Tekanan Emosi Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan IPD KK merupakan peneraju serta organisasi paling konsisten dalam aspek hiburan. Jika diamati, ia bukanlah hiburan kosong yang melalaikan tetapi persembahan yang dibawa IPD KK menerusi Thunderstorm Band dan Seni Tari turut memikul tanggungjawab kemanusiaan serta menyampaikan mesej kepada warganya mahupun masyarakat secara keseluruhannya.

Dalam kata lain, IPD KK kini mempunyai bahan peledak yang pasti akan memusnahkan keresahan, kesakitan serta kesengsaraan emosi yang ditanggung oleh insan bernama polis. -PENERANGAN

   
Email Print
   
 
 
E-browse