|
17th March, 2010
LABUAN: Pengasas Umno Bahagian Labuan, Datuk Haji Isli Siput, menyifatkan pembentukan ahli jawatankuasa baru Barisan Nasional (BN) Labuan sebagai sebuah pasukan yang bertenaga dan bersemangat tinggi sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Labuan sebagai kubu kuat BN di Wilayah Persekutuan.
Dalam waktu yang sama, beliau turut berharap mereka yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan bersikap ikhlas untuk bekerjasama tanpa memikirkan atau mendahulukan kepentingan parti masing-masing.
Katanya, sudah sampai masanya parti komponen BN melupakan segala perbalahan dan isu-isu remeh temeh yang berlaku sebelum ini, sebaliknya menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi bagi memastikan objektif dan hala tuju BN Labuan mencapai matlamatnya.
“Saya berharap mereka yang dilantik terus memberikan sokongan dan menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi serta komited untuk melaksanakan tanggungjawab,” katanya kepada New Sabah Times di sini ketika diminta mengulas mengenai perlantikkan barisan baru kepimpinan BN Labuan.
Isli yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Labuan yang pertama melahirkan tanda sokongan tanpa berbelah bagi kepada kepimpinan BN yang baru termasuk kepada Umno Bahagian Labuan dan pada masa yang sama sedia memberikan bantuan moral dan juga material jika diperlukan oleh kedua-dua pihak.
Mantan Senator itu juga, turut mengingatkan semua pemimpin parti BN termasuk Umno yang berpijak di bumi nyata supaya terus mengutamakan perpaduan dalam parti agar rakyat di pulau ini yang mempunyai pelbagai kaum dapat menikmati kehidupan yang lebih harmoni dan bersatupadu, selain dapat merealisasikan hasrat Perdana Menteri dalam Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.
Pada Sabtu lalu, Pengerusi BN Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal melantik jawatankuasa BN peringkat Labuan yang menyaksikan gabungan muka baru dan lama.
Mereka yang dilantik membabitkan Pemangku Ketua Umno Bahagian, Datuk Haji Yunus Haji Kurus sebagai Timbalan Pengerusi, Ketua Umno Cawangan Durian Tunjung, Dr Harun Pudin (Setiausaha), Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan, Datuk Haji Yusof Haji Mohammad (Ketua Penerangan) dan Ketua Umno Cawangan Hijau Baiduri, Mohd Ali Datuk Seri Panglima Omar Bledram (Bendahari).
Sementara itu Ketua-Ketua parti Komponen BN membabitkan MCA, MIC, Upko, PBS dan Gerakan sebagai Naib Pengerusi BN. Turut dilantik sama bagi jawatan itu ialah Setiausaha Umno Bahagian Labuan, Rozman Datuk Isli.
Sementara itu, beliau juga mewujudkan beberapa jawatankuasa biro membabitkan Agama, Sosial dan Kebajikan serta Biro Aduan Awam yang membabitkan perlantikan seorang ahli dari setiap parti-parti komponen BN.
|