457 pusat Tahfiz seluruh negara siap diselenggara

 

OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE

KOTA KINABALU:Sebanyak 457 pusat Tahfiz di seluruh negara telah siap diselenggara oleh GiatMara sehingga 10 Feb lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 718 pusat Tahfiz yang perlu disiapkan dalam fasa pertama dengan peruntukan sebanyak RM30 juta daripada kerajaan.

“Selebihnya pusat Tahfiz berkenaan dijangka siap diselenggara hujung Mac depan. Kebanyakan daripada 718 pusat Tahfiz berkenaan adalah tidak berdaftar dan fokus utama pada fasa pertama adalah kerja pendawaian semula.

“Kita mendahulukan pusat Tahfiz yang tidak berdaftar kerana pusat Tahfiz berkenaan kebanyakannya tidak mengikut piawaian yang ditetapkan berbanding pusat Tahfiz yang telah berdaftar. Kita tidak mementingkan sama ada pusat Tahfiz itu berdaftar atau tidak..yang penting adalah keselamatan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyah Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang di sini kelmarin.

Ismail Sabri berkata untuk Sabah, sehingga kini sebanyak 32 pusat Tahfiz telah diselenggara dan 23 daripadanya telah siap dan selebihnya sedang diselenggara.

Beliau berkata untuk penyelenggaraan pusat Tahfiz fasa kedua kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018.

“Untuk fasa kedua yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, sebanyak 612 pusat Tahfiz berdaftar bakal diselenggara secara keseluruhan termasuk dari segi piawaian pendawaian. Pelaksanaan penyelenggaraan itu dibantu oleh pihak bomba yang akan menentukan piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Pengerusi Giatmara, Datuk Azian Osman, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Goatmara , Jamal Nasir dan Ketua Umno Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisal Hamdan Diego.

 
By :
 
New Sabah Times