Rumah perkampungan atas air perlu dilengkapi alat pemadam api: Bomba

 

KOTA MARUDU: Setiap rumah khususnya di kawasan perkampungan atas air di sini perlu memiliki alat pemadam api bagi menghadapi kemungkinan kebakaran.

Bagi merealisasikan perkara itu, Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kudat Sahidi Mahali berkata pihaknya akan melaksanakan kempen ‘Satu Rumah Satu Alat Pemadam Api’ di zon tersebut.

Kawasan yang menjadi tumpuan ialah Tanjung Kapur, Kampung Landung Ayang, Pantai Bahagia dan Kampung Gumpa di Kudat, manakala di kawasan Pitas ialah Kampung Rosob dan Kampung Telaga, katanya kepada Bernama selepas perhimpunan tahunan di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu hari ini.

“Selain kawasan perkampungan atas air, kita juga menumpukan perhatian kepada tujuh buah pusat tahfiz di zon ini iaitu sebuah di Kudat, masing masing tiga buah di Kota Belud dan Ranau dengan melakukan pemeriksaan keselamatan setiap dua minggu sehingga notis yang dikeluarkan jabatan dipatuhi.

“Keberkesanan program ini telah terbukti menerusi banyak kejadian khususnya di daerah Tawau apabila berjaya mencapai 60 peratus penurunan kes kebakaran setelah mematuhi prinsip satu rumah satu alat pemadam api,” katanya.

Beliau berkata selain memiliki alat pemadam api, masyarakat juga harus peka dengan aspek keselamatan kebakaran di rumah termasuk berhubung penggunaan bahan api dan peralatan elektrik.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, beliau mengingatkan anggota bomba agar mematuhi serta mengamalkan 15 perkara yang terkandung dalam ikrar Sistem Kawalan Akauntabiliti dan Integriti (SKAI) yang dilafazkan hari ini.

Selain itu beliau juga menasihatkan pegawai dan anggota agar memaksimumkan penggunaan masa dengan aktiviti berfaedah dan bermanfaat kepada pasukan, masyarakat dan negara. - Bernama

 
By :
 
New Sabah Times