Penunggang maut, pembonceng patah kaki apabila motosikal bertembung lori

 

OLEH ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di jambatan Sungai Liwagu dekat sini pada awal pagi kelmarin.

Insiden kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Sofian Bin Ahmin,22, berasal dari Kampung Kinapulidan,Ranau yang menunggang motosikal jenis Yamaha maut serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ranau,DSP Mohd Farhan Lee Abdullah ketika mengesahkan kejadian bagaimanapun memberitahu, pembonceng, remaja perempuan berumur 15 tahun berasal dari Kg.Patau Kaingaran,Ranau,patah kaki dan cedera di bahagian tangan.

Katanya,siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa bersama pembonceng dalam perjalanan dari arah Pekan Ranau menuju jalan Sandakan.

“Apabila sampai ditempat kejadian, di atas jambatan Sungai Liwagu,mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum bertembung dengan lori kargo jenis Hino 500 yang dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu.

“Kesan daripada pertembungan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian ekoran cedera parah anggota badan manakala pembonceng dihantar ke Hospital Ranau oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu,pemandu lori,lelaki berumur 53 tahun dan pembantu pemandu,lelaki berumur 26 tahun,kedua-duanya beralamat di Tawau,tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut Farhan, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati,jalan selekoh turun bukit,jalan kering berturap dan jambatan dua lorong. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)APJ1987.

 
By :
 
New Sabah Times