Pusat nurseri rumpai laut perlu diwujudkan

 

SEMPORNA: Pusat nurseri rumpai laut perlu diwujudkan di kawasan perairan Semporna bagi menjamin bekalan dan hasil tanaman itu secara berterusan, kata Ketua Kluster Rumpai Laut Kg. Lok Butun, Hadman Indanan.

Menurutnya, isu kekurangan benih rumpai laut menjadi masalah kepada pengusaha tanaman berkenaan di Kg. Lok Butun dan kawasan berdekatan iaitu Kabimbangan dan Gelam-Gelam sehingga menjejaskan kapasiti pengeluaran.

“Di kawasan perairan ini ada dua musim angin iaitu musim angin utara dan angin selatan bila angin selatan pertumbuhan rumpai agak lambat sebab itu bila tiba musim ini benih akan berkurangan sehingga tempoh dua bulan.

“Jadi ini akan mendatangkan masalah kepada 70 pengusaha program kluster di sini sebab kekurangan benih dan hasil pun agak kurang, jadi pusat nurseri ini akan banyak membantu, kita tak payah beli di kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peserta Kluster Rumpai Laut Kg. Lok Buton, Semporna dan Seaweed Splash 2018 dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato Munir Mohd Nawi.

Katanya, pihaknya pernah menyuarakan perkara itu kepada pihak berkaitan sejak setahun yang lepas dan berharap ia dalam perancangan untuk diwujudkan pada tahun ini.

Hadman dalam pada itu berkata harga rumpai laut pada masa kini berada dalam keadaan baik sehingga membolehkan sasaran peserta kluster memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 boleh dicapai.

“Sekarang harga rumpai laut semakin baik dulu harga 60 sen sahaja tetapi sekarang sudah mencecah RM3.20 sekilo dan ini perkembangan yang baik sebab itu kita berharap agar nurseri ini menjadi kenyataan.

“Dulu pendapatan pengusaha ini hanya sekitar RM400 tetapi melalui program kluster ini pendapatan semakin baik namun banyak lagi perkara yang boleh kita tambah baik untuk terus meningkatkan pendapatan peserta,” katanya.

Dalam masa sama beliau mengalu-alukan usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan yang sentiasa berusaha membantu pengusaha rumpai laut.

“Kita pun mengalu-alukan usaha untuk menjadikan Kg.Lok Butun ini sebagai pusat sehenti untuk tanaman rumpai laut dan kita juga berharap agar peserta ini diberi bantuan kemahiran yang lain untuk meningkatkan pendapatan,” katanya. -OLEH NAZRINI BADARUN

 
By :
 
New Sabah Times