Lapan ditahan dalam operasi AADK di Keningau

 

OLEH MARUTIN ANSIUNG

KENINGAU: Enam lelaki sekampung antara yang ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Keningau dalam operasi yang dijalankan pada Ahad lepas kerana disyaki sebagai penagih dadah.

Ketua Operasi, Azry Golbin@Azmi berkata, keenam-enam mereka telah ditahan di rumah kediaman masing-masing di salah sebuah kampung di Daerah Kecil Sook.

Katanya, sepanjang operasi yang berakhir pada 1.00 pagi itu berjaya menahan 8 orang individu lelaki yang masing-masing berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun.

Menurut Azry, tangkapan yang dibuat berdasarkan maklumat dan risikan selama seminggu di dua perkampungan berkenaan dan kesemua ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

Jelasnya, kesemua mereka yang ditahan telah direman selama lapan hari oleh terlibat untuk tujuan siasatan di Pusat Tahanan Reman Papar (PTR) Sabah bermula 12 Februari 2018.

Sehubungan dengan ini katanya, pihak komuniti perlu sentiasa peka terhadap tingkahlaku dan juga perubahan fizikal anak-anak supaya masalah penagihan dadah ini dapat dicegah pada peringkat awal lagi sebelum keadaan semakin teruk.

Selain itu katanya, aktiviti atau program-program pencegahan perlu dianjurkan oleh komuniti masing-masing sebagai langkah pencegahan awalan dan mendedahkan masyarakat terhadap implikasi undang-undang sekiranya terlibat dengan pernasalahan ini.

 
By :
 
New Sabah Times