APMM tahan juragan, rampas 30 tong gas

 

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang juragan warga asing dan merampas 30 tong gas cecair petroleum (LPG) yang cuba diseludup keluar dalam Ops Pluto.

Timbalan Pengarah Operasi, Komander Maritim, Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya menahan dan melakukan pemeriksaan sebuah bot penumpang di perairan Tawau lebih kurang jam 8.30 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terdapat seorang juragan warganagera Indonesia berusia 31 tahun dan menemukan sebanyak 30 tong gas LPG (Petronas), berada dalam bot tersebut.

“Kesemua tong gas LPG beserta bot yang dirampas bernilai kira-kira RM27,000 dan telah ditahan serta dibawa masuk ke jeti APMM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes katanya, disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Yusri dalam pada itu berkata Daerah Maritim 18 Tawau akan terus meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan di kawasan tanggungjawab.

Perkara itu katanya bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan di perairan Malaysia khususnya di Tawau.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai untuk berkongsi sebarang maklumat mengenai perlanggaran undang-undang kepada pihak Maritim Malaysia.-OLEH NAZRINI BADARUN

 
By :
 
New Sabah Times