KPKT lulus peruntukan RM80,000 baik pulih balai raya Tg Aru

 

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Datuk Isli berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM80,000 untuk membaik pulih bangunan balai raya Kampung Tanjung Aru.

Selain itu katanya, Timbalan Perdana Menteri juga turut meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk membaik pulih resturan Anjung Ketam Tanjung Aru.

“ Ini adalah sebahagian daripadanya dan banyak lagi inisiatif yang telah dan akan disalurkan untuk dilaksanakan bukan sahaja untuk JKKK Tanjung Aru tetapi melibatkan keseluruhan kampung” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di balai raya kampung berkenaan pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan, Timbalan Ketua Pengarah ( Pengurusan dan Pembangunan) Kemas, Haji Hassan Manaf, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Subzon 7, Sukimin Wakiman dan Ketua kampung Tanjung Aru, Haji Harun Damit serta penduduk setempat.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata, kesemua peruntukan tersebut akan disalurkan oleh beberapa kementerian secara berperingkat-peringkat dan berterusan mengikut keutamaan sesuatu projek yang di luluskan.

Katanya, kerajaan yang diterajui oleh parti Barisan Nasional (BN) sentiasa komited untuk menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan rakyat dan kebajikan rakyat juga sentiasa diberi keutamaan.

“Kerajaan BN akan terus komited merancang dan melaksanakan pelbagai kemudahan prasarana untuk dinikmati oleh rakyat termasuk dalam menjaga kebajikan rakyat” katanya.

Program Mesra Rakyat peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjsama Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKK) Kampung Tanjung Aru merupakan program turun padang pemimpin untuk menyantuni rakyat sekaligus memperkukuhkan hubungan baik dan mesra antara masyarakat akar umbi dan pemimpin.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program itu diadakan termasuklah, kenduri sekampung, pertandingan sukan rakyat dan gerai pameran produk-produk yang diusahakan oleh penduduk kampung. -OLEH: JAINUDIN DJIMIN

 
By :
 
New Sabah Times