10 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu

 

OLEH MARLINA MACPEE

LAHAD DATU: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), di Jalan Kunak-Lahad Datu, dekat sini pada Isnin.

Komander Esscom DCP Dato’ Hazani Ghazali, berkata dalam operasi yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir pada pukul 1.30 petang itu, pasukan keselamatan telah membuat pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang pelbagai jenis kenderaan yang melalui kawasan tersebut.

“Dalam operasi berkenaan seramai 65 orang telah diperiksa, namun daripada jumlah tersebut hanya sepuluh orang PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.

“Kesemua PATI yang ditahan itu terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang berumur dalam lingkungan 8 hingga 60 tahun.

“Kes akan disiasat dibawa Seksyen 15(5)(b), Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002),” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kesemua tahanan telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Sementara itu, ops berkenaan turut disertai oleh tiga pegawai serta anggota Imigresen Lahad Datu, Esscom, IPD Kunak dan ATM dan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Medan Insp. Usman Lanaga.

 
By :
 
New Sabah Times