Polis sedia hadapi PRU14

 

OLEH NAZRINI BADARUN

TAWAU: Kesiapsiagaan anggota polis di daerah ini menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan berlangsung pada bila-bila masa dipertingkat pada tahap 100 peratus, kata Ketua Polis Daerah, ACP fadil Marsus.

Menurutnya, semua keanggotaan akan digunakan sepenuhnya termasuk anggota sokongan dan sukarelawan untuk usaha melaksana tugas semasa PRU berkenaan nanti dan juga mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

“Seperti saranan Ketua Polis Negera, kita masih dalam usaha mempertingkat kecekapan dan persediaan kita juga sebagai pasukan penguatkuasa terulung dalam menghadapi PRU nanti,”katanya ketika ditemui media.

Menurutnya, perbincangan komunikasi dua hala dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga pada ketika ini masih berlangsung mengenai kawasan-kawasan yang dijangka menjadi tumpuan utama meletakkan anggota.

“Masih banyak persediaan dan kita bersama SPR masing-masing membuat persediaan tugas dan kita tidak memerlukan tambahan anggota bagaimanapun pihak ibu pejabat Bukit Aman akan menyelaras secara bersepadu,”katanya lagi.

Fadil dalam pada itu berkata siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) mengenai insiden tiga kumpulan penjenayah mati ditembak di Batu 2 Kalabakan.

“Masih dalam siasatan dan kita sangat agresif dengan bantuan bersama ESScom dan kalau ada perkembangan terbaharu Komander ESScom akan berkongsi dengan pihak media,”katanya lagi.

Terdahulu Fadil merasmikan Majlis Persembahan Tarian Singa Sempena Tahun Baharu Cina 2018 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini kelmarin.

Katanya, inisiatif majlis itu diadakan sebagai usaha mempererat hubungan dan kerjasama yang lebih baik antara anggota berlainan suku kaum dan agama ke arah membudayakan semangat perpaduan tinggi.

“Majlis seperti ini wajar diadakan kerana di peringkat IPD tawau sendiri terdapat lebih 30 anggota yang meraihkan sambutan ini dan perlu diadakan supaya perpaduan dan kerjasama dapat terus dilakukan dengan lebih baik,”katanya lagi.

 
By :
 
New Sabah Times