Bangunan SMK Wallacebay musnah dalam kebakaran

 

TAWAU: Satu blok bangunan SMK Wallacebay yang terletak di Pulau Sebatik kira-kira 21 kilometer dari tanah besar Tawau musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata blok bangunan yang terbakar itu menempatkan pejabat pentadbiran sekolah dan bilik guru.

Keluasan bangunan yang terbakar jenis tidak kekal itu dianggarkan 100×20 kaki persegi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau diketuai Mohd Khusyairi bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi menggunakan bot Pasukan Polis Marin (PPM) bersama alatan memadam kebakaran.

Setiba di lokasi pasukan bomba bertindak membuat pemadaman kebakaran seterusnya melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada unsur kemerbahayaan lain.

Tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dengan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Operasi kebakaran ditamatkan pada jam 4.48 petang. OLEH NAZRINI BADARUN

 
By :
 
New Sabah Times