Sambutan Hari Guru SK Keguraan imbas kembali memori silam para guru

 

KOTA BELUD: Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Keguraan menyaksikan 18 guru sekolah terbabit mengembalikan memori mereka semula ke alam persekolahan.

Pada majlis yang diraikan bersama murid sekolah itu, kelihatan para guru tampil dengan pakaian seragam pelajar sekolah lengkap berserta tag nama dan lencana bagi memeriahkan sambutan yang bertemakan ‘Kembali ke Sekolah’ itu.

Menurut Guru Besar, Rosminah Suhaibul, tema yang dibawakan tersebut bukan sekadar untuk memberi kemeriahan majlis, namun disebaliknya mereka ingin memberikan contoh kepada murid-murid bahawa sebelum ini mereka juga bermula sebagai pelajar yang berusaha mencapai kejayaan

“Pada tahun ini sambutan Hari Guru berslogankan ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’ dari sini jelas menggambarkan guru sebagai pendidik yang membimbing, malah juga membentuk dan menjadi contoh kepada murid,

“Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,

“Oleh itu kami memilih tema penampilan yang memberikan pendekatan positif kepada murid bagi memberikan inspirasi kepada mereka untuk berjaya dan mengejar cita-cita sambil memupuk semangat cintakan sekolah.” Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis berkenaan di Dewan Terbuka SK Keguraan di sini kelmarin.

Pada majlis tersebut turut diadakan lafaz ikrar dan persembahan nyanyian lagu ‘Kami Guru Malaysia’ di bawah pimpinan Cikgu Azaree Aliashin.

Turut hadir menjayakan majlis adalah kakitangan am sekolah, ibu bapa dan juga murid SK Keguraan.-Oleh Noor Eviana Datu Mazinal

 
By :
 
New Sabah Times