M’sia dan Jepun akan hidupkan semula Dasar Pandang Ke Timur

 

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jepun akan mencergaskan semula dan menambah baik Dasar Pandang Ke Timur, bagi memperkukuh kerjasama dan meningkatkan daya saing perniagaan untuk kedua-dua negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut pendidikan, latihan dan pelaburan sebagai antara bidang yang boleh dimanfaatkan bersama oleh Malaysia dan Jepun menerusi kerjasama rapat kedua-dua negara itu.

“Kami gembira kerana Jepun menyambut baik sekali lagi Dasar Pandang Ke Timur, dan kita harap dapat meraih manfaat daripada kerjasama rapat antara Jepun dan Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada dasar itu,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, di Tokyo kelmarin.

Dr Mahathir juga berharap universiti-universiti Jepun akan menubuhkan cawangan mereka di Malaysia. Abe berkata Jepun akan terus menyokong pertumbuhan Malaysia, terutama dalam meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu.

“Menerusi era baharu Dasar Pandang Ke Timur, kita akan membangunkan hubungan, dengan kedua-dua negara kita akan meraih manfaat untuk Malaysia terus makmur, selain mengukuhkan daya saing kebanyakan perniagaan Jepun yang aktif di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dasar baharu itu juga akan menggalakkan pelaburan dan memperluas peluang dan ruang kepada ramai rakyat Malaysia untuk aktif di Malaysia dan Jepun.

Perdana Menteri berkata penambahbaikan dasar itu termasuk memperkukuh inisiatif pertukaran dalam pendidikan, memperluas pembangunan sumber manusia dan menggalakkan pemindahan dalam sains dan teknologi.

Dr Mahathir juga berkata Abe bersetuju untuk mengkaji permintaan Malaysia untuk mendapatkan kredit yen dari Jepun bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh negara.

“Penyelesaian semua masalah hutang akan membolehkan Malaysia sekali lagi menjadi pasaran yang baik untuk Jepun dan pelaburan Jepun di Malaysia,” katanya.

Dasar Pandang Timur diperkenal bagi mengalihkan tumpuan hubungan dengan Barat ke Asia yang pesat membangun, khususnya Jepun, dan membantu memacu perindustrian di Malaysia.

Dr Mahathir yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Jepun, akan belepas pulang petang ini. – Bernama

 
By :
 
New Sabah Times