Kapal tentera laut Diraja Malaysia terlibat penugasan Op Daulat

 

SEMPORNA: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (KD) Todak yang terlibat dalam penugasan Op Daulat Benua siri 16/18 kali berkesempatan melaksanakan Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM), aktiviti Rakan Maritim (RAKAM) dan penerangan Aplikasi Kesedaran Keselamatan Komuniti Maritim Aplikasi K3M di Pulau Danawan dan Pulau Si Amil dua hari lepas.

Pelaksanaan Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM) salah satu aktiviti kapal-kapal TLDM semasa melaksanakan penugasan operasi. Pelaksanaan IBM ini bertujuan mengukuhkan lagi hubungan antara warga TLDM dan anggota Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (Mk ATB 2) dan berkongsi maklumat semasa berkenaan keselamatan di perairan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah atau ESSZONE.

Program RAKAM dan penerangan Aplikasi K3M telah dilaksanakan oleh pasukan mendarat KD Tpdak dan turut dibantu oleh pasukan Batalion ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD) yang bertugas di pulau-pulau berkenaan.

Aktiviti pelaksanaan program secara keseluruhannya berjaya dilaksanakan dengan baik. Kerjasama dari pasukan sahabat setempat dan penerimaan baik oleh penduduk kampung di sekitar pulau memudahkan lagi penerangan yang dilaksanakan oleh warga kapal.

KD Todak meneruskan rondaan di kawasan operasi setelah selesai pelaksanaan program.

Pulau Danawan dan Pulau Si Amil terkenal dengan keindahan semula jadi ekosistem marin dan merupakan salah satu pulau di sekitar Sabah yang sering menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negara. -OLEH JAMES LEONG

 
By :
 
New Sabah Times