SoHELP bantu industri capai tiga elemen teras di tempat kerja

 

OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Sabah, Zulkifli Yahaya memberitahu program Systematic Occupational Health Enhancement Level Programme (SoHELP) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu adalah bagi membantu pihak industri untuk mencapai sasaran mematuhi tiga elemen teras dalam industri.

“Objektif SoHELP adalah membolehkan dan memudahkan pihak industri untuk mematuhi tiga elemen yang menjadi teras dalam higien industri berkaitan bahan kimia di tempat kerja, masalah berkaitan ergonomik serta pengurusan bunyi bising dengan menggunakan senarai semak ringkas yang telah dibangunkan.

“Program SoHELP juga adalah sebuah program di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 (OSHMP 2020) di bawah Strategi Empat, iaitu Pengarusperdanaan Higien Industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir semasa Majlis Penutupan Fasa II dan Perasmian Fasa III Program SoHELP Peringkat Negeri Sabah 2018 di Wisma PERKESO, kelmarin.

Menurut Zulkifli, program yang diwujudkan itu merupakan sebuah program peningkatan aras kesihatan pekerjaan bersistematik.

“SoHELP adalah program peningkatan aras kesihatan pekerjaan bersistematik dan dirangka untuk membantu pihak industri untuk mematuhi perundangan kimia, isu ergonomic dan perlindungan pendengaran di tempat kerja.

“Bagi tahun ini, sesi Fasa III bermula pada Julai 2018 dan dijangka berakhir pada Mei 2019,” katanya lagi.

Jelasnya, program SoHELP juga turut dijadikan sebagai mata tambahan yang turut diaudit dalam anugerah kecemerlangan KKP peringkat kebangsaan setiap tahun.

“Bermula pada tahun lepas, elemen di dalam SoHELP akan dijadikan sebagai additional point untuk anugerah kecemerlangan KKP peringkat kebangsaan yang diadakan setiap tahun.

“Kepada syaraikat yang menyertai Audit Anugereah ini, pastinya ini adalah satu nilai tambah kepada pihak syarikat anda,” jelasnya.

Sebanyak 19 buah syarikat di seluruh Sabah terlibat dalam SoHELP Fasa II dan Fasa III.

Syarikat yang mengambil bahagian dalam program itu akan menerima latihan dan diberi pendedahan berkaitan topik-topik berkaitan sekaligus dipraktikkan di syarikat masing-masing dan pemantauan akan dijalankan bagi melihat keberkesanan program itu.

 
By :
 
New Sabah Times