Pencarian Bintang Nunuk Ragang 2018

 

RANAU : Para pencinta seni suara di daerah ini dipelawa menyertai program Pencarian Bintang Nunuk Ragang untuk ‘Pertandingan Rombituan Nunuk Ragang’ 2018.

Pengerusi penganjurnya, Norjanah Abas memberitahu, Uji Bakat atau saringan bagi dua kategori pertandingan akan dijalankan pada 5 Julai di Pentas Budaya pekan Ranau bermula 10.00 pagi dan pertandingan akhir pada 4 Ogos bermula 6.00 petang di Pentas Terbuka Nunuk Ragang bermula 6.00 petang.

Menurutnya, kategori kanak-kanak tertutup Ranau adalah bawah 12 tahun manakala kategori Terbuka berumur 17 tahun keatas dan belum pernah memenangi mana-mana pertandingan nyanyian peringkat negeri.

Semua peserta katanya, diwajibkan mendaftar dengan bayaran RM10 (seorang) bagi kategori kanak-kanak manakala RM50 (seorang) bagi kategori Terbuka, dan dikehendaki membawa minus one masing-masing pada hari Ujibakat.

“Pada hari peringkat akhir setiap peserta dikehendaki mendendangkan dua buah lagu dalam Bahasa Kadazandusun atau Murut (KDM)”, jelasnya sambil memberitahu program tahunan itu bertujuan mencungkil dan mengasah bakat baru para penyanyi yang berpotensi dalam bidang seni suara dkhususnya memartabatkan lagi lagu-lagu dalam bahasa tempatan (KDM) Sabah.

“Hadiah-hadiah menanti bagi pemenang kategori terbuka johan menerima wang tunai RM3,000 handphone, sijil dan piala, naib johan RM2,000, piala dan sijil, tempat ketiga RM1,000, piala dan sijil. Persembahan terbaik menerima RM500, handphone, piala, sijil dan penerima saguhati RM100, berserta piala dan sijil penyertaan.

“Johan bagi kategori kanak-kanak menerima RM500, piala dan sijil, naib johan RM400, piala dan sijil, manakala tempat ketiga RM300, piala dan sijil, persembahan terbaik RM200, sijil dan piala. Penerima saguhati RM100, sijil dan piala,” jelas Norjanah.

Menurutnya lagi, pertandingan Rombitoun Nunuk Ragang itu diadakan sempena Pesta Moginakan Nunuk Ragang kali ke-21 dan Ulang Tahun Pertabalan Huguan Siou ke-34 tahun.

Beliau mempelawa orang ramai untuk hadir menyaksikan pertandingan tersebut yang perasmiannya dijangka disempurnakan Setiausaha Agung KDCA, Datuk Jhon Anthony.

 
By :
 
New Sabah Times