Empat lelaki warga asing baling objek berapi ditahan

 

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu telah menahan empat lelaki warga asing selepas cuba mendatangkan kecederaan dengan membaling objek berapi ke arah anggota pasukan keselamatan ketika cuba ditahan kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bom ikan, di kawasan perairan Malampaya, dekat sini, pada Selasa.

Komander ESSCOM DCP, Dato’ Hazani Ghazali, berkata kesemua suspek terbabit ditahan pada kira-kira pukul 5.30 petang sewaktu sedang melakukan aktiviti bom ikan di kawasan berkenaan, yang terletak kira-kira dari jarak 0.5 batu nautika daripada bot pasukan keselamatan.

“Sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan menggunakan bot samaran telah terserempak dengan sebuah bot pam yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun ketika cuba ditahan dan diperiksa, keempat-empat lelaki berkenaan cuba memecut dan melarikan diri. Semasa berlakunya insiden kejar mengejar, kelihatan beberapa suspek membuang beberapa biji botol disyaki bom ikan dan sejumlah ikan dalam karung ke laut.

“Pada masa yang sama, kelihatan seorang suspek cuba membaling satu objek berapi disyaki bom ikan ke arah bot pasukan keselamatan, namun demikian anggota kita berjaya mengelak dan tiada kecederaan dilaporkan”, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut Hazani, kesemua suspek yang ditahan itu berumur antara 25 hingga 32 tahun.

“Kes akan disiasat di bawah seksyen 353 Kanun keseksaan kerana cuba mengancam keselamatan penjawat awam,”ujarnya.

Sementara itu, turut dirampas bot pam dan beberapa peralatan bom ikan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan iaitu dua unit kompresor dan beberapa peralatan lain yang telah di buang ke dalam laut yang dianggarkan bernilai RM3,480.

Kesemua suspek dan barang rampasan telah di bawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. -Oleh MARLINA MACPEE

 
By :
 
New Sabah Times